Sunday, June 21, 2009

Kasih ayah kasih sejati


Anakku Sazali dengarlah

Lagu yang ayahanda karangi

Sifatkan laguku hai anak

Sebagai sahabatmu nanti

Anakku Sazali juwita

Laguku jadikan pelita

Penyuluh di gelap gelita

Pemandu ke puncak bahagia...

BEGITU puitis lirik lagu Anakku Sazali ciptaan Allahyarham Tan Sri P Ramlee.Baitnya syahdu dan menyentuh jiwa, membayangkan keakraban hubungan dan kasih tidak berbelah bahagi antara seorang bapa dan anak. Kasih bapa kepada anak melebihi segalanya. Jasanya tidak terhitung, cuma semua itu sukar dimengertikan si anak, sehinggalah suatu hari kelak giliran anak pula bergelar bapa.Islam meletakkan bapa pada kedudukan yang tinggi dan menjadi kewajipan setiap anak memuliakan bapa, mentaati dan menghormatinya, berbuat baik dan berkata dengan sopan.“Dan hendaklah engkau berbuat baik kepada kedua ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya atau kedua-duanya sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada keduanya sekalipun perkataan ‘ah’ dan janganlah engkau menengking mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan mulia. “Dan rendahkanlah dirimu kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu dan doakanlah: ‘Wahai Tuhanku! Kasihanilah mereka berdua sebagaimana mereka telah memelihara dan mendidikku semasa kecil.’” (Surah al-Isra': 23-24)Teks al-Quran itu mengajar manusia melayani orang tua. Tetapi sejauh mana ketaatan itu? Apakah pula yang dikatakan kebajikan terhadap orang tua?Menurut Imam al-Ghazali, kebanyakan ulama berpendapat, ketaatan kepada orang tua wajib dalam hal meragukan dan tidak wajib dalam hal yang jelas haram kerana meninggalkan sesuatu meragukan adalah warak (berhati-hati), sedangkan keredaan orang tua adalah wajib. Berbakti kepada orang tua tidak hanya kepada bapa atau ibu yang Muslim. Walaupun kedua-duanya kafir, anak harus berbuat baik kepada mereka dan termasuk berbuat baik dan tidak berjihad kecuali dengan izin mereka. Dalam hadis sahih diriwayatkan daripada Abdullah ibn Amru, dia berkata, seorang lelaki datang kepada Nabi s.a.w meminta izin kepadanya untuk berjihad. Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud: “Apakah ayahmu masih hidup?” Orang itu menjawab: “Ya.” Nabi bersabda: “Berjihadlah bagi kedua orang tua.” (Hadis riwayat Muslim)Melalui hadis lain disebutkan orang itu menjawab: “Ya, kutinggalkan mereka menangis.” Nabi berkata: “Pergilah, buatlah mereka tertawa, sebagaimana engkau membuat mereka menangis.”

Itu antara rencana yang perlu kita baca dan fikir-fikirkan oleh anak-anak yang masih mempunyai bapa/ayah/papa/dsb.

Selamat Hari Bapa.

Dipetik daripada http://www.hmetro.com.my