Saturday, August 22, 2009

Telatah Anak-anak berpuasa

Amalan setahun sekali ini benar-benar menusuk ke dalam jiwa setiap umat Islam, tak kira usia dan kedudukan. Anak-anak diasuh dengan nasihat supaya faham pengertian puasa. Untuk berpuasa mereka diajar niat berpuasa seterusnya larangan ketika berpuasa. Ibu bapa memberitahu anak perkara yang boleh membatalkan puasa dengan rasionalnya sekali seterusnya mereka diberitahu mengenai pahala dan dosa serta syurga dan neraka.

Untuk menjadikan anak yang soleh dan solehah, ibu bapalah yang mencorakkannya. Mereka ibarat kain putih bersih terpulanglah kepada ibu bapanya hendak mencorakkan. Apapun anak-anak ini ibarat rebung jika kita bentukkan dari awal memang tidak sukar untuk menjadikan mereka manusia yang berguna disisi masyarakat, negara dan agama. Carilah apa juga formula supaya anak-anak kecil kita dapat berpuasa dan seterusnya menghayati bulan Ramadan

Coretan anak-anakku,

Hari Pertama Ramadan memang tidak menjadi masalah kepada Fakhrur Razi, Muhamad Taqiyuddin dan Muhamad Hidayat
Kerana berselera makan syahur dan berbuka.

Hari ini bermula dengan penuh cabaran bagi Muhamad Suhail kerana tidak berselere sewaktu syahur. Matahari menegak di atas kepala ragamnya pun bermula. Lapppaaaar…… nak makan…. Dan akhirnya tertidur. Lepas tu barulah sempurna dengan berbagai motivasi diberi agar dapat menghabiskan puasa hari pertama. Mudah-mudahan esok tidak ada masalah lagi.

Bagi ‘Kakak’ (Nurwajiha Humaira) sejak awal lagi terlalu ghairah hendak berpuasa, malangnya dua hari sebelum berpuasa demam dan tidak dapat menunaikan hajatnya itu, namun dapat bersama-sama berbuka puasa…….mudah-mudah sembuh.

Rahsia Berpuasa.

Allah Taala telah mengurniakan nikmat yang amat besar kepada seluruh hambaNya iaitu dengan memberikan suatu amalan yang dapat digunakan untuk menolak tipu daya syaitan, untuk mengecewakan angan-angannya dan untuk mematahkan segala usaha busuknya. Amalan yang dimaksudkan itu ialah “Ibadat Puasa” Itulah benteng dan perisai bagi sekalian kekasih-kekasih Allah Taala.

Untuk orang yang berpuasa, pahalanya benar-benar dibalas dengan secukup-cukupnya serta dilipatgandakan dengan tidak terhitung banyaknya. Oleh sebab itu tidak dapatlah dibayangkan kebesaran pahala itu. Demikian sepatutnya dan jelas pula keadaannya, sebab puasa itu untuk Allah Taala sendiri dan mendapat kemuliaan dan kehormatan dengan dinisbahkan untuk ZatNya sendiri, sekalipun sebenarnya semua ibadat untuk Allah jua

‘ Bahawa ibadat puasa itu merupakan suatu pengekangan dan pembersihan diri dan rahsia melakukannya itu tergantung kepada individu itu sendiri. Ia bukanlah satu amalan yang dapat dilihat sedang ibadat lain adalah merupakan amalan-amalan yang dapat disaksikan dan dilihat oleh orang ramai. Puasa tidak dapat disaksikan, kecuali diri sendiri dan Allah Azza wajalla sahaja, sebab puasa itu adalah amalan batin yang berbentuk kesabaran semata-mata”.

Renung-renungkan sejenak…..Selamat menunaikan ibadah puasa.