Saturday, December 26, 2009

Hari Asyura

Hari ini 10 Muharram 1431 H. Sudah 10 hari kita berada di tahun baru 1431 H, semoga kita diberi hidayah dan petunjuk untuk melakukan kebaikan di muka bumi ciptaan Allah dan sentiasa tunduk kepada suruhannya selain menghindari daripada perkara-perkara mungkar.

Hari Asyura merupakan salah satu hari yang diraikan oleh umat Islam. Asyura berasal daripada perkataan Arab asyara yang bermaksud sepuluh. Ini disebabkan hari Asyura adalah hari yang kesepuluh di dalam kalendar Islam iaitu pada 10 Muharram. Mengikut masyarakat Islam, hari Asyura telah menyaksikan banyak sejarah besar dan keajaiban berlaku ke atas para nabi. Disebabkan itu, masyarakat Islam menghormati hari tersebut seperti juga yang diamalkan oleh Muhammad s.a.w.

Sebagai peringatan sempena hari Asyura kita sebagai umat Islam disunatkan melakukan perkara-perkara berikut:

1. Melapangkan masa / belanja anak dan isteri
2. Memuliakan fakir miskin
3. Menahan marah
4. Menunjukkan jalan yang lurus/membetuli orang sesat/orang yang salah
(terpesong aqidah (tauhid) dan akhlaknya)
5. Menyapu / mengusap kepala anak yatim(menghormati dan memuliakan mereka)
6. Bersedekah
7. Memelihara kehormatan diri
8. Mandi Sunat dengan lafaz niatnya: "Sahaja aku mandi sunat hari
Asyura kerana Allah Taala."
9. Bercelak
10. Membaca Qulhuwallah(
Surah Al-Ikhlas) hingga akhir seribu kali
11. Sembahyang sunat empat rakaat dengan lafaz niat:
"Sahaja aku sembahyang sunat hari empat rakaat kerana Allah Taala."
Pada rakaat pertama dan kedua selepas al-Fatihah di baca Qulhuwallah sebelas kali.
12. Menjamu orang berbuka puasa
13. Puasa Sunat Asyura dengan niatnya dibaca Sahaja aku berpuasa
esok hari sunat hari Asyura kerana Allah Taala.

Saturday, December 19, 2009

Perginya Tak Kembali.


Alfatihah buat Ustaz Yub bin Omar PK HEM Sk Sentosa yang telah
kembali ke Rahmatullah pada pukul 4.00 pagi, 19 Disember 2009
bersamaan 2 Muharram 1431 H. Semoga roh beliau ditempatkan
bersama-sama orang yang beriman. Amin.
Berita daripada teman-teman di Sentosa subuh hari ini membuat
hati tersentuh kerana tidak berkesempatan menziarahi beliau
ketika berada di hospital beberapa hari yang lalu. Walaupun
diberitakan beliau sihat seperti biasa selepas itu, tuhan maha
kuasa kerana memberikan peluang hanya sebentar menikmati alam citaanNya di dunia ini setelah serangan jantung kali kedua tidak mengizinkan untuk bersama lagi. Alhamdulillah berkesempatan juga menziarahi jenazah beliau sebelum dikebumikan petang tadi di Kampar.

Tahniah juga buat Cikgu Sofia kerana selamat diijabkabulkan dengan pasangannya juga pada hari ini di Kg Sahom, Kampar. Selamat Pengantin Baru, Semoga kekal hingga ke anak cucu.

Thursday, December 17, 2009

Wow.. Anda boleh lakukan. Malaysia Boleh!


Tahniah buat pasukana Malaysia. Selepas menanti selama 20 tahun, akhirnya pingat emas acara bola sepak Sukan SEA kembali berada dalam genggaman Malaysia. Skuad negara kendalian K. Rajagobal mengakhiri kemarau selama 20 tahun itu apabila berjaya membenam Vietnam 1-0 pada final Sukan SEA XXV di Stadium Utama, Kompleks Sukan Nasional.
Jaringan sendiri oleh pemain Vietnam, Mai Xuan Hop pada minit ke-83 sudah cukup buat barisan muda negara melakar sejarah penuh gemilang di bumi Laos, sekali gus membantu kontinjen Malaysia meraih pingat emas ke-40 semalam.
"Selepas kita menanti 20 tahun, kini anak-anak buah saya sudah mengembalikan semula pingat emas acara bola sepak Sukan SEA buat Malaysia. Kami sememangnya berhak meraih untuk pingat emas ini.
"Selama ini, kita menunggu untuk bergelar juara Sukan SEA dan akhirnya para pemain saya telah merealisasikan impian seluruh peminat bola sepak Malaysia. Saya harap, dengan kejayaan ini, ia akan kembali mengangkat kembali martabat bola sepak Malaysia," kata Rajagobal.
Kali terakhir skuad negara memenangi pingat emas acara bola sepak ialah pada Sukan SEA 1989 di Kuala Lumpur selepas menewaskan Singapura 1-0. Pada Sukan SEA 2001 juga di Kuala Lumpur, skuad negara turut melangkah ke final, namun tewas 0-1 kepada Thailand
Apapun diharap inilah titik mula kebangkitan pasukan kebangsaan dan sudah semestinya ia memerlukan sokongan penuh daripada semua pihak sama ada pengurusan, kepimpinan dan peminat bola sepak untuk sentiasa berdiri di belakang mereka untuk berjaya.

Friday, October 23, 2009

Kenanganku

Hari ini hari terakhir aku bertugas di SK Sentosa, Kampar. Inilah detik-detik terakhir aku di sana yang menjadi kenangan sepanjang hayat. Selepas ini aku berangkat ke SK Chenderung Kelubi dan sudah menanti tugasan baru yang perlu aku jalankan.


Memberi ucapan selamat tinggal



Staff pejabat.

Sebelum meninggalkan bilik.

Penyerahan tugas

Bersalaman dengan pelajar sebelum
meninggalkan SK Sentosa.


Good bye semua....

Saturday, October 17, 2009

Selamat Tinggal SK Sentosa


Beberapa hari yang lalu teman terima panggilan daripada pegawai PPD KS bertemu dgn pegawai bahagian berkenaan. Dalam hati dah agak penantian yg ditunggu akan muncul. Memang sah aku dapat kembali berkhidmat di Daerahku di Perak Tengah. Alhamdulillah aku terima saja dimana lokasi baru itu. Janji dapat pulang dan bersama-sama rakan di sini.

Selama 7 bulan di SK Sentosa, teman dah dapat menyesuaikan diri. No problem lagi tentang situasi di sini. Banyak pengalaman berguna dapat teman timba di sini dan peluang ini dapat digunakan untuk masa akan datang disamping menjadi kenangan yang tak akan dilupakan.

Walaupun dalam hati merasa gembira dengan berita ini namun di hati kecil ini terasa pilu juga meninggalkan warga SK Sentosa yang banyak meninggalkan kenangan. TERIMA KASIH kepada semua pelajar (583 orang) dan semua guru (46 orang) serta staff (8 orang).

Saturday, August 22, 2009

Telatah Anak-anak berpuasa

Amalan setahun sekali ini benar-benar menusuk ke dalam jiwa setiap umat Islam, tak kira usia dan kedudukan. Anak-anak diasuh dengan nasihat supaya faham pengertian puasa. Untuk berpuasa mereka diajar niat berpuasa seterusnya larangan ketika berpuasa. Ibu bapa memberitahu anak perkara yang boleh membatalkan puasa dengan rasionalnya sekali seterusnya mereka diberitahu mengenai pahala dan dosa serta syurga dan neraka.

Untuk menjadikan anak yang soleh dan solehah, ibu bapalah yang mencorakkannya. Mereka ibarat kain putih bersih terpulanglah kepada ibu bapanya hendak mencorakkan. Apapun anak-anak ini ibarat rebung jika kita bentukkan dari awal memang tidak sukar untuk menjadikan mereka manusia yang berguna disisi masyarakat, negara dan agama. Carilah apa juga formula supaya anak-anak kecil kita dapat berpuasa dan seterusnya menghayati bulan Ramadan

Coretan anak-anakku,

Hari Pertama Ramadan memang tidak menjadi masalah kepada Fakhrur Razi, Muhamad Taqiyuddin dan Muhamad Hidayat
Kerana berselera makan syahur dan berbuka.

Hari ini bermula dengan penuh cabaran bagi Muhamad Suhail kerana tidak berselere sewaktu syahur. Matahari menegak di atas kepala ragamnya pun bermula. Lapppaaaar…… nak makan…. Dan akhirnya tertidur. Lepas tu barulah sempurna dengan berbagai motivasi diberi agar dapat menghabiskan puasa hari pertama. Mudah-mudahan esok tidak ada masalah lagi.

Bagi ‘Kakak’ (Nurwajiha Humaira) sejak awal lagi terlalu ghairah hendak berpuasa, malangnya dua hari sebelum berpuasa demam dan tidak dapat menunaikan hajatnya itu, namun dapat bersama-sama berbuka puasa…….mudah-mudah sembuh.

Rahsia Berpuasa.

Allah Taala telah mengurniakan nikmat yang amat besar kepada seluruh hambaNya iaitu dengan memberikan suatu amalan yang dapat digunakan untuk menolak tipu daya syaitan, untuk mengecewakan angan-angannya dan untuk mematahkan segala usaha busuknya. Amalan yang dimaksudkan itu ialah “Ibadat Puasa” Itulah benteng dan perisai bagi sekalian kekasih-kekasih Allah Taala.

Untuk orang yang berpuasa, pahalanya benar-benar dibalas dengan secukup-cukupnya serta dilipatgandakan dengan tidak terhitung banyaknya. Oleh sebab itu tidak dapatlah dibayangkan kebesaran pahala itu. Demikian sepatutnya dan jelas pula keadaannya, sebab puasa itu untuk Allah Taala sendiri dan mendapat kemuliaan dan kehormatan dengan dinisbahkan untuk ZatNya sendiri, sekalipun sebenarnya semua ibadat untuk Allah jua

‘ Bahawa ibadat puasa itu merupakan suatu pengekangan dan pembersihan diri dan rahsia melakukannya itu tergantung kepada individu itu sendiri. Ia bukanlah satu amalan yang dapat dilihat sedang ibadat lain adalah merupakan amalan-amalan yang dapat disaksikan dan dilihat oleh orang ramai. Puasa tidak dapat disaksikan, kecuali diri sendiri dan Allah Azza wajalla sahaja, sebab puasa itu adalah amalan batin yang berbentuk kesabaran semata-mata”.

Renung-renungkan sejenak…..Selamat menunaikan ibadah puasa.

Sunday, August 2, 2009

Bakat Anak

Karnival Pra Sekolah sesungguhnya memberi peluang kepada kanak-kanak di peringkat awal persekolahan membina bakat dan keyakinan diri untuk berhadapan dengan suasana terbuka. Ini amat penting sebagai pendedahan kanak-kanak dalam membina ketrampilan diri disamping dapat membina perwatakan diri

.

Johan Pertandingan Hafazan: Nurwajiha Humaira

Naib Johan Tarian Rampai : SK Pulau Juar (Humaira)

Sunday, June 21, 2009

Kasih ayah kasih sejati


Anakku Sazali dengarlah

Lagu yang ayahanda karangi

Sifatkan laguku hai anak

Sebagai sahabatmu nanti

Anakku Sazali juwita

Laguku jadikan pelita

Penyuluh di gelap gelita

Pemandu ke puncak bahagia...

BEGITU puitis lirik lagu Anakku Sazali ciptaan Allahyarham Tan Sri P Ramlee.Baitnya syahdu dan menyentuh jiwa, membayangkan keakraban hubungan dan kasih tidak berbelah bahagi antara seorang bapa dan anak. Kasih bapa kepada anak melebihi segalanya. Jasanya tidak terhitung, cuma semua itu sukar dimengertikan si anak, sehinggalah suatu hari kelak giliran anak pula bergelar bapa.Islam meletakkan bapa pada kedudukan yang tinggi dan menjadi kewajipan setiap anak memuliakan bapa, mentaati dan menghormatinya, berbuat baik dan berkata dengan sopan.“Dan hendaklah engkau berbuat baik kepada kedua ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya atau kedua-duanya sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada keduanya sekalipun perkataan ‘ah’ dan janganlah engkau menengking mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan mulia. “Dan rendahkanlah dirimu kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu dan doakanlah: ‘Wahai Tuhanku! Kasihanilah mereka berdua sebagaimana mereka telah memelihara dan mendidikku semasa kecil.’” (Surah al-Isra': 23-24)Teks al-Quran itu mengajar manusia melayani orang tua. Tetapi sejauh mana ketaatan itu? Apakah pula yang dikatakan kebajikan terhadap orang tua?Menurut Imam al-Ghazali, kebanyakan ulama berpendapat, ketaatan kepada orang tua wajib dalam hal meragukan dan tidak wajib dalam hal yang jelas haram kerana meninggalkan sesuatu meragukan adalah warak (berhati-hati), sedangkan keredaan orang tua adalah wajib. Berbakti kepada orang tua tidak hanya kepada bapa atau ibu yang Muslim. Walaupun kedua-duanya kafir, anak harus berbuat baik kepada mereka dan termasuk berbuat baik dan tidak berjihad kecuali dengan izin mereka. Dalam hadis sahih diriwayatkan daripada Abdullah ibn Amru, dia berkata, seorang lelaki datang kepada Nabi s.a.w meminta izin kepadanya untuk berjihad. Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud: “Apakah ayahmu masih hidup?” Orang itu menjawab: “Ya.” Nabi bersabda: “Berjihadlah bagi kedua orang tua.” (Hadis riwayat Muslim)Melalui hadis lain disebutkan orang itu menjawab: “Ya, kutinggalkan mereka menangis.” Nabi berkata: “Pergilah, buatlah mereka tertawa, sebagaimana engkau membuat mereka menangis.”

Itu antara rencana yang perlu kita baca dan fikir-fikirkan oleh anak-anak yang masih mempunyai bapa/ayah/papa/dsb.

Selamat Hari Bapa.

Dipetik daripada http://www.hmetro.com.my

Saturday, June 20, 2009

Sambutan Hari Guru Daerah Kinta Selatan


Kampar, 20 Jun 2009. Sambutan Hari Guru Peringkat Daerah Kinta Selatan disambut meriah hari ini walaupun sambutan peringkat Kebangsaan sudah sepurnama meninggalkan kita. Sambutan bermula 13 Jun Lalu dengan pertandingan memancing yang telah diadakan di Gua Tempurung.

Hari ini sambutan penuh meriah bermula sejak awal pagi bertempat di SK Sentosa dengan Karnival Permainan seperti pertandingan Futsal, bola jaring, sepak takraw, catur, golf, sukaneka, badminton dan karaoke. Disamping itu guru-guru di daerah ini juga berkesempatan untuk mengunjungi promosi Takaful Life Ins dan Syarikat Celcom disamping program derma darah.

Majlis Penutupan pula diadakan mulai pukul 2.00 petang di Dewan Besar SMK Sri Kampar dengan dirasmikan oleh Timbalan Pengarah Pelajaran, Datin Asariah bt Mior Shaharuddin.



Lagi berita bergambar di blog http://sksentosa2.blogspot.com/


Saturday, May 9, 2009

Selamat Hari Ibu.

Pengorbanan wanita bergelar ibu tidak boleh dinilai dengan wang ringgit atau harta benda. Segala kesusahan ketika hamil dan kesakitan melahirkan sukar digambarkan, tetapi tiba-tiba boleh menjadi kegembiraan apabila mendengar tangisan pertama anak. Apakah memadai jasa dan pengorbanan ibu dihayati dan dikenang tatkala menyambut hari ibu? Sudah tentu tidak kerana sikap ini tidak menggambarkan kasih sayang sepanjang hayat tetapi hanya budaya sekali setahun. Namun hari ibu yang disambut pada 10 Mei setiap tahun tidak bermakna ia harus dibiarkan berlalu tanpa pengisian bermakna. Sebagai anak, kita dituntut mengenang jasa dan pengorbanan ibu.
Firman Allah bermaksud: “Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapa. Ibunya mengandung dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya) dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun. (Dengan demikian) bersyukurlah kepada-Ku dan kepada ibu bapamu. Hanya kepada-Ku tempat kembalimu.” (Surah Luqman, ayat 14)
Jasa ibu melahir dan membesarkan anak tidak dapat dibalas kerana pengorbanan memastikan kesejahteraan mereka amat besar sehingga meletakkan kedudukan syurga bagi anak di bawah tapak kaki ibunya. Kisah Alqamah yang berlaku pada zaman Rasulullah SAW menjadi cerita yang terus diulang sebagai iktibar kepada generasi hari ini supaya menghormati serta menghargai ibu tidak kira dalam apa keadaan. Alqamah ialah pemuda yang baik dan taat, rajin mendirikan solat, banyak berpuasa serta bersedekah, namun dia lebih mengutamakan isteri berbanding ibunya yang makan hati berulam jantung dengan perbuatan Alqamah.
Akibatnya dia tidak mampu mengucap dua kalimah syahadah pada penghujung hayatnya sehingga Rasulullah SAW bertindak untuk membakar Alqamah apabila ibunya yang berkecil hati enggan memaafkan anak itu. Tindakan Rasulullah SAW menyebabkan ibunya segera memaafkan Alqamah yang kemudian dengan mudah mengucapkan dua kalimah syahadah. Selepas dimandi, dikafan, disolat dan dikebumikan, Rasulullah SAW berdiri di tepi kuburnya lalu bersabda yang bermaksud: “Wahai kaum Muhajirin dan Ansar! Sesiapa yang lebih mengutamakan isterinya daripada ibunya, nescaya akan ditimpa kepadanya laknat Allah dan juga tidak diterima daripadanya taubat dan tebusannya.” (Hadis riwayat Abu al-Laith)

Islam mewajibkan anak menunaikan segala hak dan melayani ibunya dengan baik. Islam juga mengharamkan anak melakukan sesuatu yang boleh menyakitkan dan menyinggung perasaan ibunya. Pendek kata, ibu ialah insan paling berhak mendapat layanan terbaik daripada anak selaras pengorbanan yang dilakukannya.

Alangkah sedihnya melihat masyarakat hari ini apabila ada anak sanggup mendera, membiarkan malah mencederakan ibu bapa apabila kehendak hati tidak dipenuhi atau disebabkan nasihat untuk kebaikan diberi. Anak yang menderhaka terhadap ibu bapa kerana hilang nilai keimanan dalam diri dan jiwa dikuasai hasutan nafsu. Tekanan hidup hari ini juga menjadikan hubungan kekeluargaan kian jauh dan institusi keluarga makin rapuh.

Daripada Abdullah Amru, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Keredaan Allah daripada keredaan ibu bapa dan kemurkaan Allah daripada kemurkaan ibu bapa.” (Hadis riwayat Tirmizi)

Sumber dari : Berita Harian 8 Mei 2009

Monday, May 4, 2009

Kami Juara ...


Kampar, 04 Mei - SK Sentosa, Bandar Baru Kampar muncul sebagai Johan Pertandingan Bola Sepak MSSD Kinta Selatan yang berlangsung di Padang SMK Sentosa. Dalam perlawanan akhir yang berlangsung dengan penuh debaran pasukan tuan rumah berjaya menewaskan Johan tahun lalu SK Gopeng, Jalan Ilmu melalui tendangan penalti 3-2 setelah kedua-dua pasukan terikat 0-0 apabila wisel penamat dibunyikan. Tahniah diucapkan kepada semua guru yang terlibat. Teruskan perjuangan anda.

Detik-detik gembira,


Sambutan Jubli Intan TLDM

Selamat Menyambut Hari Ulang Tahun TLDM Ke 75 kepada semua warga TLDM. kita doakan semoga Allah sentiasa melindungi dan memberkati perjuangan TLDM yang menjadi tunjang di dalam mempertahankn kedaulatan perairan maritim negara dan dapat menjalankan tugas yang diamanahkan. "Sedia Berkorban"


Teman dan keluarga sempat melapangkan masa menghadiri sambutan yang gilang gemilang itu. Alhamdulillah teman sampai awal dan tak menjadi kesulitan untuk masuk dan pulang dengan selesa. Kalau lambat macam jadi macam sahabat teman yang lain le......bagus kalau kita dapat peluang begini terutama jika dapat membawa keluarga untuk mendekati tentang TLDM. Banyak maklumat dan pengetahuan untuk dibawa pulang. Ada peluang tahu akan datang marilah kita bersama meraikannya....

Monday, April 13, 2009

Jauh perjalanan luas pemandangan




Sudah hampir sebulan berada di tempat bertugas yang baru. Alhamdulillah rasanya dapat menyesuaikan diri. Perubahan lokasi dan persekitaran tidak mungkin akan mengganggu tugasan harian sebagai seorang guru. Tak kisah di mana jua kita bertugas, yang penting kita dapat bekerja dengan suasana yang seronok dan mendapat kerjasama daripada rakan sejawat.
Mungkin sedikit terasa jauh dari tempat tinggal, namun jika difikirkan ada rakan-rakan kita yang bertugas lebih jauh dan mengapa kita tidak boleh melakukannya. Sebagai kakitangan awam kita tertakluk kepada peraturan dan pertukaran adalah perkara biasa bagi kita. Adalah menjadi satu kerugian kepada rakan-rakan yang sanggup menghuni di satu-satu tempat hingga berpuluh tahun lamanya. Mengapa kita perlu berada di bawah tempurung? Dunia kita kan luas, marilah kita lihat dunia di luar sana. Mungkin rakan-rakan kita sudah selesa agaknya di sana tapi harus di ingat jauh kita berjalan banyak pengalaman yang kita perolehi. Sekurang-kurangnya kita dapat menilai dan musahabah diri kita, apa yang kurang dan apa yang lebihnya diri kita. Menteri pelajaran kita juga sudah saling silih berganti dan kita sendiri dapat menilai mana satukah yang banyak memberi sumbangan kepada dunia pendidikan.